33.2 C
Jakarta

Kekuatan Tafsir al-Baydawi yang Banyak Mempengaruhi Tafsir Pertama Melayu, Tarjuman al-Mustafid

Artikel Trending

Asas-asas IslamTafsirKekuatan Tafsir al-Baydawi yang Banyak Mempengaruhi Tafsir Pertama Melayu, Tarjuman al-Mustafid
Dengarkan artikel ini
image_pdfDownload PDF

Tafsir Al-Baydawi termasuk tafsir Arab yang lumrah didengar oleh pelajar tafsir. Tafsir ini termasuk rujukan utama dalam bidang tafsir. Ringkasnya, tafsir ini ditulis oleh Al-Baydawi, Abdullah bin Umar, seorang ulama tafsir yang hidup pada abad ke-7 hijriah. Al-Baydawi seperti ulama Islam lain adalah seorang akdemik yang multi talenta keilmuan. Selain mufassir, beliau juga seorang faqih dan ahli usul fiqh serta pakar bahasa. Al-Baydawi menyebut tafsirnya dengan nama ‘Anwar Al-Tanzil Wa Asrar Al-Ta’wil (أنوار التنزيل وأسرار التأويل).’ Walaupun demikian, tafsir ini lebih dikenali oleh peminat tafsir dengan Tafsir Al-Baydawi.’ Nama ini lebih akrab kepada pelajar dan peminat tafsir serta lebih ringkas diucapkan berbanding dengan nama aslinya.

Sebelum Tafsir Al-Baydawi lahir, Tafsir Al-Zamakhshari (w. 538 H) lebih awal muncul dalam dunia tafsir. Semua peminat tafsir, khususnya orang akademisi yang bergiat dalam dunia tafsir melihat Al-Zamakhshari telah berhasil menulis tafsir yang memamerkan keindahan pola binaan struktur Al-Quran dalam melahirkan makna. Oleh itu, tafsir ini banyak diminati oleh para penggiat tafsir, khususnya ahli bahasa, walaupun Al-Zamakhshari merupakan seorang muktazilah.

Kemampuan retorik Al-Zamakhshari tidak diragukan lagi, bahkan terkadang pandangan Muktazilah Al-Zamakhshari dicerna oleh peminat tafsir tanpa sadar, padahal ia merupakan bagian daripada akidah Muktazilah. Ini berlaku kerana kemampuan retorik Al-Zamakhshari dalam menuangkan pemikiran Muktazilah dengan gaya bahasa yang lembut dan sangat rapi. Inilah yang menjadi kerisauan ulama yang datang setelah Al-Zamakhshari. Ternyata, Al-Baydawi menyedari perkara itu. Oleh itu, ia meringkas tafsir Al-Zamakhshari dan membuang akidah Muktazilah Al-Zamakhshari dan mengekalkan pandangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam bab akidah. Oleh itu, Tafsir Al-Baydawi dikenali sebagai ringkasan terhadap tafsir Al-Zamakhshari, walaupun Al-Baydawi sendiri juga mengambil bahan penulisan tafsirnya daripada Al-Tafsir Al-Kabir, karya Fakhruddin Al-Razi (w. 606 H) dan tafsir yang lain.

Plus Mimus Tafsir al-Baydawi

Terlalu banyak kelebihan yang dimiliki Tafsir Al-Baydawi. Namun, penulis hanya menyoroti kelebihan Tafsir Al-Baydawi dalam menjernihkan tafsir Al-Quran dengan mengolah semula tafsir Al-Zamakhshari dalam bentuk ringkasan yang mengasingkan pemikiran Muktazilah dan mengekalkan pemikiran Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Ternyata kelebihan ini tercium oleh Syeikh Abdul Rauf Al-Singkeli, ulama Aceh pada abad ke-17 masehi. Di Aceh beliau dikenali sebagai Syiah Kuala (perkataan Syiah di sini bermaksud syeikh dan bukanlah golongan Syiah yang sesat). Syiah kuala banyak menyebut nama Al-Baydawi dalam tafsirnya. Oleh itu, tafsirnya yang berjudul Tarjuman Al-Mustafid (ترجمان المستفيد)  dianggap oleh sebahagian orang sebagai terjemahan terhadap Tafsir Al-Baydawi, walaupun Syiah Kuala dalam tafsirnya juga banyak menukil pentafsiran Tafsir Al-Khazin dan Tafsir Al-Jalalayn.

BACA JUGA  Tafsir Ayat Perang: Melihat Konteks Qs. al-Taubah [9]: 29 dalam Tafsir Buya Hamka

Keterkaitan Tarjuman Al-Mustafid dengan Tafsir Selainnya

Menurut Zulkifli Mohd Yusoff dan Wan Nasyrudin Wan Abdullah dalam kajian mereka berdua pada tahun 2005, Tarjuman Al-Mustafid bukanlah terjemahan dari mana-mana tafsir, termasuk Tafsir Al-Baydawi ataupun Tafsir Al-Jalalayn, melainkan karya tafsir yang mengalami intertekstualiti, yaitu karya tafsir yang dihasilkan daripada gabungan teks-teks yang berdialog antara satu sama lain. Ini lebih tepat berbanding menyebut tafsir Syiah Kuala sebagai terjemahan terhadap Tafsir Al-Baydawi ataupun Tafsir Al-Jalalayn.

Menurut penulis, Syiah Kuala mengetahui nilai Tafsir Al-Baydawi di mata Ahli Sunnah Wal Jamaah. Selain itu, pembahasan yang ringkas lagi padat dengan faedah-faedah pengajaran menjadikan Syiah Kuala sangat menggemari Tafsir Al-Baydawi. Di samping itu, keperluan masyarakat Melayu Aceh ketika itu kepada sumber rujukan Islam yang berbahasa Melayu yang memurnikan ajaran Islam daripada pengaruh tafsir-tafsir batiniyah yang diamalkan oleh para pengikut Wahdatul Wujud. Mereka adalah kumpulan salik buta (menjalani kehidupan sufi) yang mentafsirkan Al-Quran menurut selera akal mereka yang picik. Tafsir ini ditulis dalam bahasa Arab Jawi Lama dan diterima luas oleh masyarakat ketika itu. Sebagai bukti, kitab tafsir Tarjuman ini bukan sahaja tersebar luas di bumi Melayu, bahkan juga hingga ke Turki, Mesir, Mekah, dan sebagainya. Ia terus menjadi rujukan hingga ke hari ini.

Kesimpulan, tafsir Nusantara tidak dapat mengelakkan diri daripada pengaruh tafsir Arab yang ditulis oleh ulama-ulama Arab. Ini menjadi bukti kuat bahawa Nusantara tidak dapat menafikan pengaruh dunia Arab terhadap praktek Islam yang sedang berkembang di Nusantara, tidak seperti golongan Islam Nusantara yang merasa alergi ketika mencium apa saja yang berbau Arab.

Dr. Muhammad Widus Sempo, Dosen Senior (Senior Lecturer) Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

E-mail: [email protected] dan  [email protected]

 

Harakatuna
Harakatuna
Harakatuna.com merupakan media dakwah berbasis keislaman dan kebangsaan yang fokus pada penguatan pilar-pilar kebangsaan dan keislaman dengan ciri khas keindonesiaan. Transfer Donasi ke Rekening : BRI 033901002158309 a.n PT Harakatuna Bhakti Ummat

Mengenal Harakatuna

Artikel Terkait

Artikel Terbaru